Pengurusan Rekod Perubatan Cekap Jamin Ketepatan Rawatan


Oleh Mohd Hisham b Abdul Rafar

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Kemunculan pusat-pusat perubatan swasta dan klinik persendirian bak cendawan tumbuh selepas hujan, serta potensi positif pelancongan perubatan di negara ini menjadikan pengurusan rekod perubatan kini sangat penting.

Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Rekod, Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana, Dr Irwan Kamaruddin Abd Kadir berkata jumlah pesakit yang bertambah dan kepelbagaian penyakit memerlukan pengurusan dan pengkelasan rekod yang berkesan dan cekap bagi memastikan ketepatan maklumat dan menjimatkan masa setiap pihak terlibat.

Lebih banyak rekod perubatan perlu disimpan meskipun kebanyakannya sudah menggunakan sistem teknologi maklumat.

KETEPATAN MAKLUMAT PESAKIT

Rekod perubatan bukan sahaja penting dalam membantu doktor memberi rawatan yang sesuai dan tepat, malah merujuk serta mengemas kini latar belakang dan tahap kesihatan pesakit.

Pesakit juga akan mendapat rawatan dan ubat-ubatan yang berkesan selain mengetahui perkembangan kesihatannya walaupun bukan doktor yang sama merawatnya.

Mengulas lanjut perkembangan sektor perubatan, Irwan Kamaruddin berkata kerajaan yang semakin prihatin terhadap kesihatan rakyat juga telah menambah baik hospital-hospital kerajaan sedia ada.

“Pertumbuhan industri yang pesat memberi kesan langsung kepada pengwujudan rekod-rekod, semakin berkembang industri perubatan maka semakin banyak rekod-rekod perubatan akan diwujudkan bagi menampung keperluan aktiviti-aktiviti perubatan.

“Di Malaysia pada hari ini, kewujudan Pegawai Rekod Perubatan MRO) semakin diterima dan dikenali serta diperlukan,” katanya kepada Bernama di sini.

DOKUMEN SAH PERUNDANGAN

Beliau berkata rekod perubatan juga melibatkan perkara-perkara seperti penyelidikan yang memerlukan maklumat lengkap dan pengurusan cekap.

“Oleh yang demikian, Program Pengurusan Rekod di bawah Fakulti Pengurusan Maklumat memperkenalkan kursus rekod perubatan bagi memenuhi keperluan industri perubatan Malaysia.

“Memorandum Persefahaman yang ditandatangani di antara Universiti Teknologi MARA (Fakulti Pengurusan Maklumat) dan Institut Jantung Negara pada tahun 2014 menunjukkan bahawa UiTM dan industri melihat pengurusan rekod perubatan sebagai sangat signifikan,” katanya.

Pandangan Irwan Kamaruddin turut disokong tiga pensyarah kanan pusat itu yang mengakui bahawa rekod perubatan adalah rekod penting untuk merekodkan segala fakta atau maklumat berkaitan sejarah kesihatan pesakit.

Nik Azliza Nik Ariffin berkata rekod perubatan merupakan dokumen penting dalam perkhidmatan rawatan di hospital dan dikategorikan sebagai dokumen sulit.

Beliau menjelaskan bahawa rekod pesakit bukan sekadar untuk disimpan oleh hospital bagi tujuan penyelidikan, pentadbiran, pengumpulan statistik kesihatan dan perundangan dan rekod perubatan, malah merupakan dokumen yang sah daripada segi perundangan.

PENGURUSAN REKOD EFEKTIF

“Maklumat di dalamnya perlu dicatat atau direkod dengan lengkap oleh semua pengamal perubatan yang memberi perkhidmtan kesihatan kepada pesakit,” katanya.

Menurut Dr Azman Mat Isa, di sebalik kemajuan dalam bidang perubatan dan teknologi maklumat, anggota pusat perubatan sentiasa terdedah kepada risiko membuat keputusan tidak tepat atau kecuaian yang menyebabkan pesakit menerima natijahnya.

Implikasinya, kata beliau doktor dan pusat perubatan akan berdepan dengan risiko tindakan undang-undang oleh pesakit atau waris mereka.

“Dalam konteks ini, pengurusan rekod yang efektif dapat memastikan operasi dapat dilaksanakan dengan lancar kerana maklumat yang tepat dan terkini sentiasa tersedia untuk digunakan oleh ahli perubatan.

“Ketepatan rekod klinikal sangat penting bagi memastikan keputusan yang bakal dibuat oleh doktor adalah tepat. Ironinya, sekiranya doktor atau pusat perubatan berdepan dengan tindakan undang-undang, mereka akan mempunyai sumber maklumat yang tepat dan boleh dipercayai,” ujarnya.

KONGSI MAKLUMAT PERUBATAN

Menjelaskan lanjut, beliau berkata pendekatan yang lebih berkesan adalah dengan menggabungkan pengurusan rekod dan pengurusan risiko.

“Ini akan memberikan pendekatan yang holistik bagi pusat-pusat perubatan kerana mereka dapat mengenal pasti risiko yang mungkin berlaku serta bersedia untuk menanganinya sekiranya ia berlaku,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nizam Yunus pula berkata berdasarkan pengalamannya, kebanyakan hospital menguruskan rekod perubatan dengan baik.

“Namun perlu ada satu medium agar maklumat perubatan individu ini dapat dikongsi di antara semua penyedia rawatan kesihatan termasuk hospital kerajaan, hospital swasta, klinik swasta dan klinik kesihatan kerajaan.

“Ini kerana sering kali pesakit yang mendapatkan rawatan di kampung atau mana-mana destinasi lain perlu diperiksa dan diagak jenis ubatnya oleh doktor. Ini menjadikan proses memberi ubat ibarat ‘trial and error’ di mana jika ubat A tidak cukup untuk sembuhkan pesakit, akan diberi pula ubat B,” katanya.

Justeru, pengurusan rekod perubatan akan dapat memastikan kelestarian organisasi dicapai selain mengurangkan risiko berhadapan tindakan undang-undang.

— BERNAMA

Leave a Reply